Pages

Salam

Sunday, November 29, 2009

Cinta.


Cinta itu adalah perasaan yg mesti ada pada tiap2 diri manusia, ia laksana setitis embun yg turun dari langit, bersih & suci. Cuma tanahnyalah yg berlain-lainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yg tandus, tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong & lain2 perkara yg tercela. Tetapi jika ia jatuh kpd tanah yg subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia budi pekerti yg tinggi & lain2 perangai yg terpuji. -Hamka-

Wednesday, November 25, 2009

Masjidil Aqsa


Masjid kedua tertua dan ketiga tersuci di dunia adalah Masjidil Aqsa (Masjid Al-Aqsa). Masjid itu dibangunkan di atas lokasi Kenisah Sulaiman atau Haykal Sulaiman dan termasuk di antara tiga masjid yang perlu dikunjungi oleh kaum Muslim sesuai dengan anjuran Nabi Muhammad s.a.w. Keutamaan Masjidil Aqsa ini didasarkan daripada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Janganlah kamu merasa berat untuk mengadakan perjalanan ke tiga masjid: Masjidil Haram, Masjidku ( Masjid Nabawi ) dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama dari 100,000 kali di tempat lain kecuali di Masjidil Aqsa.” ( Riwayat ad-Darimi, an- Nasa’i, dan Ahmad)

Masjidil Aqsa disebut di dalam al-Quran yang berkaitan dengan peristiwa Israk Mikraj (Q.17:1). Nabi s.a.w. melakukan Israk (perjalanan malam hari) dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum bermikraj ke Sidratulmuntaha, sebagaimana dalam firman-Nya: “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami…” (Q.17:1).

Kalangan ulama berbeza pendapat mengenai istilah “aqsa”. Sebahagian berpendapat bahawa masjid ini disebut Aqsa (Jauh) kerana memang jauh dari Masjidil Haram di Mekah. Menurut pendapat lain, masjid ini disebut Aqsa kerana ia merupakan tempat yang bebas daripada segala jenis kotoran, tempat turunnya malaikat serta wahyu, dan kiblat para nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Pendapat lain lagi mengatakan bahawa Masjidil Aqsa bukan di Baitulmaqdis tetapi di Sidratulmuntaha. Alasan ini didasarkan pada fakta bahawa Haykal Sulaiman sudah dihancurkan pada tahun 70 SM oleh Kaisar Titus dari Rom.

Masjidil Aqsa berada dalam sebuah kompleks di kota Baitulmaqdis (rumah, tempat suci atau yang disucikan). Baitulmaqdis adalah sebutan bagi Jerusalem yang juga disebut al-Quds. Masjidil Aqsa didirikan di atas tanah bekas Haykal Sulaiman. Di dalam kompleks itu, Masjidil Aqsa terletak di selatan Kubah as-Sakhrah yang juga dikenali dengan nama Masjid Umar atau The Dome of the Rock. Masjid itu didirikan seperti di atas sakhrah (batu hitam yang menjadi landasan mikraj Nabi s.a.w) oleh Abdul Malik bin Marwan pada tahun 72 H/691 M.

Nabi Sulaiman a.s membangun tempat ibadah Yahudi (kenisah) di Jerusalem yang disebut Haykal Sulaiman. Bangunan yang terletak di Haram asy-Syarif itu lalu dihancurkan oleh Kaisar Titus pada tahun 70 SM. Khalifah Umar membina sebuah masjid (Masjidil Aqsa) di bekas lokasi Haykal Sulaiman itu. Kubah masjid itu berwarna perak. Masjidil Aqsa telah diperbaiki beberapa kali, namun bentuknya tetap tidak berubah.

Ketika menerima penyerahan Jerusalem (dahulu bernama Aelia) daripada penguasa Nasrani, Umar al-Khattab mendapati tompokan sampah di atas sakhrah. Beliau dan kaum Muslim membersihkan tempat itu. Lalu beliau berkata kepada Ka’b bin Ahbar (seorang Yahudi yang memeluk Islam), ”Menurut pendapat kamumu, di mana saya dapat mendirikan sembahyang untuk kaum Muslim?” Dia (Ka’b) menjawab, ”Dirikanlah di belakang(sebelah utara) sakhrah.” Umar pun membalas, ”Hai kau anak perempuan Yahudi, kau masih terpengaruh dengan kefahaman Yahudi! Sebaliknya, saya akan mendirikan masjid tempat di pusat lokasi Haykal Sulaiman kerana kami menguasai seluruh pusat kenisah itu.” Lalu, sebuah Masjid dibina di sebelah selatan sakhrah seperti yang dapat disaksikan sekarang ini. Masjid itulah yang dinamakan Masjidil Aqsa.

Saturday, November 21, 2009

BERSYUKURKAH ANDA??


FAHAMAN WAHHABI

Sebenarnya aku kurang faham jadi aku dapatkan sedikit informasi untuk tahu je. Pas tu kongsi ngan korang. pas tu same2 le fikirkan...



Fahaman Wahhabi merupakan satu gerakan yang bertujuan untuk memurnikan perilaku umat Islam yang telah menyimpang daripada tuntutan agama yang sebenar. Ia mula diperkenalkan oleh Muhammad bin Abdul Wahab pada abad ke-18 di Semenanjung Arab. Fahaman keagamaan ini menyarankan agar kaum Muslim kembali kepada ajaran Islam murni seperti yang termuat dalam al-Quran dan Sunnah.

Melihat kaum Muslim pada zamannya sudah banyak menyimpang, Abdul Wahab menekankan kembali ajaran tauhid dan mengecam keras perlakuan yang mengotori kesucian tauhid seperti tawassul (doa dengan perantaraan orang atau benda supaya cepat makbul), ziarah kubur dan bidaah. Fahaman keagamaan ini kemudian berkembang menjadi gerakan sosial dan politik ketika Abdul Wahab bersekutu dengan Muhammad bin Sa’ud atau Ibnu Sa’ud, pemimpin dari Dinasti Sa’ud. Pada awal abad ke-20, persekutuan itu berhasil mendirikan negara Arab Saudi, yang menerapkan Wahhabi sebagai fahaman rasmi negara.

Abdul Wahab pengasas fahaman Wahhabi, lahir pada tahun 1703 di Nejd. Dia mendapat pendidikan agama dan belajar di Madinah. Setelah itu, Abdul Wahab meneruskan pengajian ke Suriah (Syria), Iraq, Kurdistan dan Parsi. Dia kembali ke Tanah Arab dan mula menyebarkan fahaman Islam yang murni, iaitu meyerukan agar kaum Muslim kembali kepada ajaran Islam seperti dalam al-Quran dan hadis. Ketika menetap di Daryah, dia menjadi pemimpin agama Dinasti Sa’ud. Pada masa itu, Dinasti Sa’ud merupakan sebuah kuasa tempatan yang sedang berusaha melebar dan memperluaskan pengaruh. Abdul Wahab telah mengambil kesempatan menandatangani satu `perjanjian kerjasama’ dengan Ibnu Sa’ud. Abdul Wahab dan para pengikutnya akan menyokong usaha Dinasti Sa’ud untuk memperluaskan pengaruh mereka.

Sebagai balasan, Dinasti Sa’ud akan menyebarkan ajaran Islam mengikut fahaman Abdul Wahab. Usaha ini berhasil dilaksanakan dengan sempurna pada awal abad ke-20. Abdul Wahab kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1787.

Timbulnya gerakan ini tidak dapat dilepaskan daripada keadaan politik, perilaku keagamaan, dan sosial ekonomi umat Islam. Dari segi politik, umat Islam di seluruh kawasan kekuasaan Islam berada dalam keadaan yang lemah. Turki Uthmaniah (kerajaan Uthmaniah) yang menjadi penguasa tunggal Islam pada saat itu sedang mengalami kemunduran dalam segala bidang. Banyak daerah kekuasaannya yang melepaskan diri, terutama daerah-daerah di daratan Eropah. Kelemahan ini juga menyebabkan kekacauan politik di daerah-daerah Timur (Arab, Parsi dan lain-lain). Keadaan ini menyebabkan timbulnya negara-negara kecil yang berusaha menguasai daerah-daerah tertentu.

Di samping kelemahan politik, perilaku keagamaan umat Islam pada masa itu merupakan faktor utama yang paling mendorong munculnya gerakan ini. Pada ketika itu, terutama di Semenanjung Arab, telah terjadi penyelewengan dalam memahami al-Quran. Semangat keilmuan yang pernah muncul pada zaman klasik telah pudar dan digantikan dengan sikap cenderung kepada perkara-perkara mistik.

Menurut Wahhabi, tauhid yang diajarkan Rasulullah s.a.w telah diselubungi kurafat dan fahaman kesufian. Masjid-masjid banyak ditinggalkan kerana rata-rata mereka lebih cenderung menghias diri dengan azimat, penangkal penyakit dan tasbih. Mereka belajar daripada seorang fakir atau darwis serta memuja mereka sebagai orang-orang suci dan sebagai perantara mendekati Tuhan.

Dalam keyakinan mereka, Tuhan terlalu jauh untuk dicapai manusia melalui ‘pemujaan’ secara langsung. Tidak hanya kepada guru yang masih hidup, kepada yang sudah mati pun mereka memohon perantaraan. Sebahagian umat Islam sudah meninggalkan akhlak yang diajarkan al-Quran, bahkan banyak yang tidak menghiraukannya lagi. Kota-kota suci Mekah dan Madinah telah menjadi tempat yang penuh dengan penyimpangan akidah, sementara ibadah haji telah menjadi amalan yang leceh dan ringan. Kabilah-kabilah yang kuat dapat menguasai jalur perdagangan utama, sedangkan penduduk awam pada umumnya berada dalam serba kekurangan. Pertanian dan penternakan yang merupakan mata pencarian utama kebanyakan penduduk tidak dapat menjamin kehidupan ekonomi mereka. Hal ini disebabkan oleh keadaan kekacauan, peperangan, perompakan yang dilakukan oleh kabilah-kabilah lain. Akibatnya, penduduk Nejd dan Semenanjung Arab kebanyakan hidup dalam kemiskinan.

Di tengah-tengah kancah kehidupan yang demikian lahirlah Wahhabi sebagai gerakan keagamaan yang berusaha memurnikan agama Islam dari segala aspek seperti yang dituntut al-Quran.

Tema utama dalam fahaman Wahhabi adalah tauhid, yang dianggap oleh Abdul Wahab sebagai inti paling pokok dalam agama Islam. Menurutnya, keesaan Allah s.w.t. itu terserlah dalam tiga aspek.

Pertama, tauhid rububiyah iaitu penegasan mengenai kesatuan Tuhan dan segala tindakan-Nya. Hanya Tuhanlah Maha Pencipta, Pemilik, dan Pemelihara alam semesta. Kedua, tauhid al-asma’ wa as-sifah (kesatuan nama dan sifat), yang tertumpu kepada sifat Allah. Ketiga, tauhid Ilahiah iaitu penegasan bahawa segala ibadah ditujukan semata-mata hanya kepada Allah.

Kaum Wahhabi juga mengecam amalan yang banyak dilakukan oleh kaum Muslim untuk meminta tolong kepada arwah orang-orang suci yang sudah mati, agar ibadah mereka diterima. Menjadikan Nabi Muhammad perantaraan antara seorang Muslim dan Allah juga tidak dibenarkan, kerana Nabi Muhammad tidak dapat memberi petunjuk kepada siapa pun yang disukai kecuali dengan izin Allah dan juga tidak diizinkan oleh Allah untuk memohon pengampunan bagi orang-orang musyrik.

Para pengikut aliran dan gerakan Wahhabi menamakan diri mereka `Muwahhidun’ atau `Muwahhidin’, yang bererti “mereka yang mengesakan Allah”. Sebutan “Wahhabi” sebenarnya berasal daripada lawan mereka, yang kemudian digunakan secara popular di Barat dan dunia pada umumnya.

Usaha untuk menyebarkan fahaman Wahhabi dan memperluas Dinasti Sa’ud mengalami pasang surut yang panjang. Usaha ini pernah menemui kegagalan pada beberapa dinasti keluarga Abdul Wahab dan Dinasti Sa’ud. Ia mula menampakkan kejayaan pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Ketika itu seluruh wilayah Hijaz telah dikuasai oleh fahaman ini. Pada tahun 1924, mereka akhirnya berhasil menguasai kota Mekah. Pada tahun berikutnya sekitar tahun 1925, mereka juga berjaya menguasai Madinah dan Jeddah.

Pada ketika itulah mereka mula mendirikan kerajaan Arab Saudi (al-Mamlakah al-Arabiah as-Saudi) dan menerapkan Wahhabi sebagai fahaman rasmi negara.

Bagi kaum Wahhabi, menjadi seorang Muslim tidak cukup hanya dengan menyebut dua kalimah syahadah. Lafaz syahadah itu tidak menjamin kaum Muslim bebas daripada melaku atau mengamalkan perkara-perkara syirik. Orang yang sudah mengucapkan syahadah, tetapi masih mengamalkan hal-hal yang berkaitan dengan amalan syirik (menyekutukan Allah), dicap sebagai orang kafir.

Kerana keyakinan teguh akan bahaya tawassul, kaum Wahhabi mengecam hebat amalan ziarah kubur atau pendirian bangunan di sekitar makam. Menurut Abdul Wahab, sebenarnya amalan menziarahi kubur merupakan perbuatan mulia dan bersifat soleh jika dilaksanakan sesuai dengan semangat ajaran Islam. Namun, kaum Wahhabi melihat bahawa amalan itu mendatangkan kesan buruk kerana menjurus kepada pemujaan bahkan penyembahan tokoh yang sudah mati. Oleh yang demikian, kaum Wahhabi berpendapat bahawa makam yang digunakan untuk tujuan pemujaan itu harus atau wajib dibongkar atau dimusnahkan.

Fahaman Wahhabi ini tersebar luas melalui sokongan pemerintah sehingga mencakupi luar negara. Fahaman Wahhabi juga disebarkan kepada kaum Muslim yang setiap tahun menunaikan ibadah haji ke Mekah. Namun demikian, pengaruh fahaman ini cukup terbatas kecuali di India dan Afghanistan, fahaman atau pengaruh Wahhabi begitu kuat dan kental.

Kaum Wahhabi juga mengambil berat tentang permasalahan bidaah. Bagi mereka, bidaah adalah segala ajaran atau amalan yang bukan berdasarkan daripada al-Quran, hadis dan teladan para sahabat Nabi Muhammad. Abdul Wahab menolak segala bentuk pembaharuan dan menolak pandangan yang menyatakan bahawa sesuatu yang baru itu boleh dilaksanakan sekiranya ia baik dan patut dihargai. Oleh sebab itu, mereka menolak amalan seperti perayaan Maulidur Rasul.

Kaum Wahhabi meletakkan ijtihad itu satu keharusan. Pintu ijtihad tidak pernah tertutup pada pandangan mereka, dan perbuatan taklid adalah dilarang. Mereka menyeru agar kaum muslim mengikut sepenuhnya ajaran al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad hinggakan mereka menolak semua ketetapan keempat-empat mazhab dalam persoalan hukum-hukum (Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki). Biarpun mereka secara umumnya mengikuti ketetapan atau panduan dalam mazhab Hanbali, mereka tetap melakukan ijtihad sendiri jika ketetapan mazhab itu dianggap bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

Fahaman Wahhabi mempunyai dua inti ajaran, iaitu yang pertama, kembali kepada ajaran yang asli. Ia bermaksud, kaum Muslim mesti kembali kepada ajaran Islam yang dianut dan dipraktikkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, sahabat dan para tabiin.

Kedua, prinsip yang berhubungan dengan masalah tauhid. Pemikiran yang dicetuskan oleh Abdul Wahab ini sebenarnya merupakan reaksi terhadap suasana ketauhidan yang telah dirosakkan oleh fahaman-fahaman musyrik, bukan disebabkan oleh impak gerakan politik.

Sebagai usaha melakukan pemurnian tauhid ini, secara khususnya Ibnu Abdul Wahab menyusun Kitab at-Tauhid yang berlegar sekitar permasalahan tauhid, syirik, dan lain-lain dan bersangkutan dengan masalah akidah Islam. Menurutnya, kalimah `Lailahaillallah‘ (tidak ada Tuhan selain Allah) tidak cukup hanya diucap, tetapi harus dimanifestasikan dengan `Lamabudillallah‘ (tidak ada yang disembah kecuali Allah).

Melalui prinsip tauhid sebegini, Muhammad bin Abdul Wahab menyerang dan menghapus semua amalan buruk yang terdapat dalam masyarakat Arab. Menurutnya, orang yang menyembah selain Allah telah menjadi musyrik dan boleh dibunuh. Hal-hal yang termasuk syirik adalah meminta pertolongan bukan lagi kepada Allah tetapi kepada syeikh, wali, atau kekuatan ghaib, tawassul (berdoa dengan perantaraan syeikh tarekat atau wali) dengan menyebut nama nabi atau malaikat sebagai memohon syafaat selain daripada Allah.

Dalam usaha memurnikan ajaran tauhid ini, para pengikut Muhammad bin Abdul Wahab merobohkan kubur-kubur biasa dikunjungi oleh mereka yang ingin meminta syafaat daripada orang yang telah dikuburkan. Pada tahun 1802, mereka menyerang Karbala kerana di kota ini terdapat kubur Saidina Hussein bin Ali bin Abi Talib, yang sangat dipuja oleh golongan Syiah. Beberapa tahun kemudian mereka menyerang Madinah dan menghancurkan kubah yang terdapat di atas makam-makam. Hiasan-hiasan yang ada di kuburan Nabi Muhammad juga dirosakkan. Mereka kemudiannya menyerang Mekah, dan di sini `kiswah’ (kain sutera) yang menutup Kaabah juga dirosakkan. Semua itu dianggap bidaah.

Dan di antara inti ajaran tauhid Muhammad bin Abdul Wahab yang lain iaitu meminta syafaat selain kepada Tuhan juga syirik, bernazar selain Tuhan juga syirik, memperoleh pengetahuan selain al-Quran dan hadis merupakan kekufuran, tidak percaya kepada kadar Tuhan juga merupakan kekufuran, demikian pula, mentafsirkan al-Quran dengan takwil adalah kafir.

Doa Anak² Termakbul.


DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL

Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah.

Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, ia sudah tentu membawa padah.

Apa itu “Sujud Sahwi” ?


Apa itu “Sujud Sahwi” ?


Sahwi bermaksud lupa sesuatu. Pengertian dari segi syarak adalah terlupa sesuatu di dalam solat. Sujud sahwi adalah sujud yang dilakukan sebanyak dua kali setelah selesai bacaan Tahiyat akhir dan sebelum salam; ia dikerjakan untuk menutup kecacatan dalam pelaksanaan solat kerana terlupa, dan hukumnya adalah sunat.

Doa sujud sahwi adalah seperti berikut:

سبحان من لا ينام ولا يسحو

Ertinya: “Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa.”



1. Sujud Sahwi Kerana Kelebihan
Barangsiapa terlupa di dalam solatnya lalu tertambah rukuk, atau sujud, dan sebagainya, maka dia perlu sujud sahwi.

2. Sujud Sahwi Kerana Kekurangan
Barangsiapa, justeru terlupa, lalu meninggalkan salah satu sunat ab’adh, maka ia harus sujud sahwi sebelum salam. Misalnya, makmum terlupa tahiyyat awal dan hanya teringat setelah sempurna qiam (berdiri tegak), maka dia tidaklah perlu duduk kembali dan cukup baginya sujud sahwi. Namun, sekiranya dia teringat sebelum separuh bangkit untuk qiam, maka bolehlah dia kembali duduk dan menyempurnakan tahiyyat awal dan tidak perlu sujud sahwi.

c. Sujud Sahwi Kerana Ragu-ragu
Keragu-raguan di dalam solat adalah kerana tidak meyakini sama ada terlebih atau terkurang, umpamanya seseorang ragu sama ada dia di dalam rakaat ketiga atau keempat. Keraguan ada dua jenis:

1. Sekiranya seseorang lebih cenderung kepada satu hal (waham, atau lebih 50% pasti), umpamanya dia lebih meyakini dia kini di dalam rakaat ketiga dan bukan rakaat keempat, maka dia harus menurutkan mengambil sikap kepada yang lebih ia yakini, kemudian dia melakukan sujud sahwi setelah salam.

2. Sekiranya seseorang itu ragu-ragu antara dua hal, dan tidak condong pada salah satunya (dzan, atau hanya 50-50 pasti), maka dia harus mengambil sikap kepada hal yang sudah pasti akan kebenarannya, iaitu jumlah rakaat yang sedikit. Kemudian menutupi kekurangan tersebut, lalu sujud sahwi sebelum salam.

Hal-hal Penting Berkenaan Dengan Sujud Sahwi

1.Apabila seseorang meninggalkan salah satu rukun solat secara tidak sengaja, dan ia teringat ketika belum sampai pada rukun yang sama di rakaat berikutnya, maka ia wajib segera kembali kepada rukun yang tertinggal itu, dan kembali meneruskan solat dari situ. Sekiranya dia teringat dan sedang pula berada pada rukun yang tertinggal itu pada rakaat berikutnya, maka rukun yang tertinggal itu dianggap terganti dan ia perlulah meneruskan solat seolah-olahnya di rakaat yang sebelum itu. Pada kedua-dua hal ini, wajib dia melakukan sujud sahwi setelah salam atau sebelumnya.

2.Apabila sujud sahwi dilakukan setelah salam, maka perlu pula melakukan salam sekali lagi.

3.Apabila seseorang yang melakukan solat meninggalkan sunat ab’adh secara sengaja, maka batallah solatnya.

* Jika ketinggalan kerana lupa, kemudian dia ingat sebelum beranjak dari sunat ab’adh tersebut, maka hendaklah dia melaksanakannya dan tidak perlu sujud sahwi.
* Jika ia teringat setelah melewatinya tapi belum sampai kepada rukun berikutnya, maka hendaklah dia kembali melaksanakan rukun tersebut, lalu sujud sahwi selepas salam.
* Jika ia teringat setelah sampai kepada rukun yang berikutnya, maka sunat ab’adh itu gugur, dan dia tidak perlu kembali kepadanya untuk melakukannya, akan tetapi perlu sujud sahwi sebelum salam.

4.Sekiranya seseorang itu terlupa sujud sahwi dan teringat hanya selepas memberi salam maka bolehlah ia sujud sahwi, dengan syarat ingatan itu timbul dalam masa yang tidak begitu lama.

5. Sekiranya imam terlupa sujud sahwi, makmum bolehlah sujud sahwi setelah imam memberi salam.

Sebab-sebab sujud sahwi ada tiga: kerana kelebihan, kerana kekurangan, dan kerana ragu-ragu.

Love.

Relationship is not about how much love you have in the beginning but how much love you build till the end.

Makkah azan.

my ip