Pages

Salam

Saturday, November 21, 2009

FAHAMAN WAHHABI

Sebenarnya aku kurang faham jadi aku dapatkan sedikit informasi untuk tahu je. Pas tu kongsi ngan korang. pas tu same2 le fikirkan...



Fahaman Wahhabi merupakan satu gerakan yang bertujuan untuk memurnikan perilaku umat Islam yang telah menyimpang daripada tuntutan agama yang sebenar. Ia mula diperkenalkan oleh Muhammad bin Abdul Wahab pada abad ke-18 di Semenanjung Arab. Fahaman keagamaan ini menyarankan agar kaum Muslim kembali kepada ajaran Islam murni seperti yang termuat dalam al-Quran dan Sunnah.

Melihat kaum Muslim pada zamannya sudah banyak menyimpang, Abdul Wahab menekankan kembali ajaran tauhid dan mengecam keras perlakuan yang mengotori kesucian tauhid seperti tawassul (doa dengan perantaraan orang atau benda supaya cepat makbul), ziarah kubur dan bidaah. Fahaman keagamaan ini kemudian berkembang menjadi gerakan sosial dan politik ketika Abdul Wahab bersekutu dengan Muhammad bin Sa’ud atau Ibnu Sa’ud, pemimpin dari Dinasti Sa’ud. Pada awal abad ke-20, persekutuan itu berhasil mendirikan negara Arab Saudi, yang menerapkan Wahhabi sebagai fahaman rasmi negara.

Abdul Wahab pengasas fahaman Wahhabi, lahir pada tahun 1703 di Nejd. Dia mendapat pendidikan agama dan belajar di Madinah. Setelah itu, Abdul Wahab meneruskan pengajian ke Suriah (Syria), Iraq, Kurdistan dan Parsi. Dia kembali ke Tanah Arab dan mula menyebarkan fahaman Islam yang murni, iaitu meyerukan agar kaum Muslim kembali kepada ajaran Islam seperti dalam al-Quran dan hadis. Ketika menetap di Daryah, dia menjadi pemimpin agama Dinasti Sa’ud. Pada masa itu, Dinasti Sa’ud merupakan sebuah kuasa tempatan yang sedang berusaha melebar dan memperluaskan pengaruh. Abdul Wahab telah mengambil kesempatan menandatangani satu `perjanjian kerjasama’ dengan Ibnu Sa’ud. Abdul Wahab dan para pengikutnya akan menyokong usaha Dinasti Sa’ud untuk memperluaskan pengaruh mereka.

Sebagai balasan, Dinasti Sa’ud akan menyebarkan ajaran Islam mengikut fahaman Abdul Wahab. Usaha ini berhasil dilaksanakan dengan sempurna pada awal abad ke-20. Abdul Wahab kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1787.

Timbulnya gerakan ini tidak dapat dilepaskan daripada keadaan politik, perilaku keagamaan, dan sosial ekonomi umat Islam. Dari segi politik, umat Islam di seluruh kawasan kekuasaan Islam berada dalam keadaan yang lemah. Turki Uthmaniah (kerajaan Uthmaniah) yang menjadi penguasa tunggal Islam pada saat itu sedang mengalami kemunduran dalam segala bidang. Banyak daerah kekuasaannya yang melepaskan diri, terutama daerah-daerah di daratan Eropah. Kelemahan ini juga menyebabkan kekacauan politik di daerah-daerah Timur (Arab, Parsi dan lain-lain). Keadaan ini menyebabkan timbulnya negara-negara kecil yang berusaha menguasai daerah-daerah tertentu.

Di samping kelemahan politik, perilaku keagamaan umat Islam pada masa itu merupakan faktor utama yang paling mendorong munculnya gerakan ini. Pada ketika itu, terutama di Semenanjung Arab, telah terjadi penyelewengan dalam memahami al-Quran. Semangat keilmuan yang pernah muncul pada zaman klasik telah pudar dan digantikan dengan sikap cenderung kepada perkara-perkara mistik.

Menurut Wahhabi, tauhid yang diajarkan Rasulullah s.a.w telah diselubungi kurafat dan fahaman kesufian. Masjid-masjid banyak ditinggalkan kerana rata-rata mereka lebih cenderung menghias diri dengan azimat, penangkal penyakit dan tasbih. Mereka belajar daripada seorang fakir atau darwis serta memuja mereka sebagai orang-orang suci dan sebagai perantara mendekati Tuhan.

Dalam keyakinan mereka, Tuhan terlalu jauh untuk dicapai manusia melalui ‘pemujaan’ secara langsung. Tidak hanya kepada guru yang masih hidup, kepada yang sudah mati pun mereka memohon perantaraan. Sebahagian umat Islam sudah meninggalkan akhlak yang diajarkan al-Quran, bahkan banyak yang tidak menghiraukannya lagi. Kota-kota suci Mekah dan Madinah telah menjadi tempat yang penuh dengan penyimpangan akidah, sementara ibadah haji telah menjadi amalan yang leceh dan ringan. Kabilah-kabilah yang kuat dapat menguasai jalur perdagangan utama, sedangkan penduduk awam pada umumnya berada dalam serba kekurangan. Pertanian dan penternakan yang merupakan mata pencarian utama kebanyakan penduduk tidak dapat menjamin kehidupan ekonomi mereka. Hal ini disebabkan oleh keadaan kekacauan, peperangan, perompakan yang dilakukan oleh kabilah-kabilah lain. Akibatnya, penduduk Nejd dan Semenanjung Arab kebanyakan hidup dalam kemiskinan.

Di tengah-tengah kancah kehidupan yang demikian lahirlah Wahhabi sebagai gerakan keagamaan yang berusaha memurnikan agama Islam dari segala aspek seperti yang dituntut al-Quran.

Tema utama dalam fahaman Wahhabi adalah tauhid, yang dianggap oleh Abdul Wahab sebagai inti paling pokok dalam agama Islam. Menurutnya, keesaan Allah s.w.t. itu terserlah dalam tiga aspek.

Pertama, tauhid rububiyah iaitu penegasan mengenai kesatuan Tuhan dan segala tindakan-Nya. Hanya Tuhanlah Maha Pencipta, Pemilik, dan Pemelihara alam semesta. Kedua, tauhid al-asma’ wa as-sifah (kesatuan nama dan sifat), yang tertumpu kepada sifat Allah. Ketiga, tauhid Ilahiah iaitu penegasan bahawa segala ibadah ditujukan semata-mata hanya kepada Allah.

Kaum Wahhabi juga mengecam amalan yang banyak dilakukan oleh kaum Muslim untuk meminta tolong kepada arwah orang-orang suci yang sudah mati, agar ibadah mereka diterima. Menjadikan Nabi Muhammad perantaraan antara seorang Muslim dan Allah juga tidak dibenarkan, kerana Nabi Muhammad tidak dapat memberi petunjuk kepada siapa pun yang disukai kecuali dengan izin Allah dan juga tidak diizinkan oleh Allah untuk memohon pengampunan bagi orang-orang musyrik.

Para pengikut aliran dan gerakan Wahhabi menamakan diri mereka `Muwahhidun’ atau `Muwahhidin’, yang bererti “mereka yang mengesakan Allah”. Sebutan “Wahhabi” sebenarnya berasal daripada lawan mereka, yang kemudian digunakan secara popular di Barat dan dunia pada umumnya.

Usaha untuk menyebarkan fahaman Wahhabi dan memperluas Dinasti Sa’ud mengalami pasang surut yang panjang. Usaha ini pernah menemui kegagalan pada beberapa dinasti keluarga Abdul Wahab dan Dinasti Sa’ud. Ia mula menampakkan kejayaan pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Ketika itu seluruh wilayah Hijaz telah dikuasai oleh fahaman ini. Pada tahun 1924, mereka akhirnya berhasil menguasai kota Mekah. Pada tahun berikutnya sekitar tahun 1925, mereka juga berjaya menguasai Madinah dan Jeddah.

Pada ketika itulah mereka mula mendirikan kerajaan Arab Saudi (al-Mamlakah al-Arabiah as-Saudi) dan menerapkan Wahhabi sebagai fahaman rasmi negara.

Bagi kaum Wahhabi, menjadi seorang Muslim tidak cukup hanya dengan menyebut dua kalimah syahadah. Lafaz syahadah itu tidak menjamin kaum Muslim bebas daripada melaku atau mengamalkan perkara-perkara syirik. Orang yang sudah mengucapkan syahadah, tetapi masih mengamalkan hal-hal yang berkaitan dengan amalan syirik (menyekutukan Allah), dicap sebagai orang kafir.

Kerana keyakinan teguh akan bahaya tawassul, kaum Wahhabi mengecam hebat amalan ziarah kubur atau pendirian bangunan di sekitar makam. Menurut Abdul Wahab, sebenarnya amalan menziarahi kubur merupakan perbuatan mulia dan bersifat soleh jika dilaksanakan sesuai dengan semangat ajaran Islam. Namun, kaum Wahhabi melihat bahawa amalan itu mendatangkan kesan buruk kerana menjurus kepada pemujaan bahkan penyembahan tokoh yang sudah mati. Oleh yang demikian, kaum Wahhabi berpendapat bahawa makam yang digunakan untuk tujuan pemujaan itu harus atau wajib dibongkar atau dimusnahkan.

Fahaman Wahhabi ini tersebar luas melalui sokongan pemerintah sehingga mencakupi luar negara. Fahaman Wahhabi juga disebarkan kepada kaum Muslim yang setiap tahun menunaikan ibadah haji ke Mekah. Namun demikian, pengaruh fahaman ini cukup terbatas kecuali di India dan Afghanistan, fahaman atau pengaruh Wahhabi begitu kuat dan kental.

Kaum Wahhabi juga mengambil berat tentang permasalahan bidaah. Bagi mereka, bidaah adalah segala ajaran atau amalan yang bukan berdasarkan daripada al-Quran, hadis dan teladan para sahabat Nabi Muhammad. Abdul Wahab menolak segala bentuk pembaharuan dan menolak pandangan yang menyatakan bahawa sesuatu yang baru itu boleh dilaksanakan sekiranya ia baik dan patut dihargai. Oleh sebab itu, mereka menolak amalan seperti perayaan Maulidur Rasul.

Kaum Wahhabi meletakkan ijtihad itu satu keharusan. Pintu ijtihad tidak pernah tertutup pada pandangan mereka, dan perbuatan taklid adalah dilarang. Mereka menyeru agar kaum muslim mengikut sepenuhnya ajaran al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad hinggakan mereka menolak semua ketetapan keempat-empat mazhab dalam persoalan hukum-hukum (Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki). Biarpun mereka secara umumnya mengikuti ketetapan atau panduan dalam mazhab Hanbali, mereka tetap melakukan ijtihad sendiri jika ketetapan mazhab itu dianggap bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

Fahaman Wahhabi mempunyai dua inti ajaran, iaitu yang pertama, kembali kepada ajaran yang asli. Ia bermaksud, kaum Muslim mesti kembali kepada ajaran Islam yang dianut dan dipraktikkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, sahabat dan para tabiin.

Kedua, prinsip yang berhubungan dengan masalah tauhid. Pemikiran yang dicetuskan oleh Abdul Wahab ini sebenarnya merupakan reaksi terhadap suasana ketauhidan yang telah dirosakkan oleh fahaman-fahaman musyrik, bukan disebabkan oleh impak gerakan politik.

Sebagai usaha melakukan pemurnian tauhid ini, secara khususnya Ibnu Abdul Wahab menyusun Kitab at-Tauhid yang berlegar sekitar permasalahan tauhid, syirik, dan lain-lain dan bersangkutan dengan masalah akidah Islam. Menurutnya, kalimah `Lailahaillallah‘ (tidak ada Tuhan selain Allah) tidak cukup hanya diucap, tetapi harus dimanifestasikan dengan `Lamabudillallah‘ (tidak ada yang disembah kecuali Allah).

Melalui prinsip tauhid sebegini, Muhammad bin Abdul Wahab menyerang dan menghapus semua amalan buruk yang terdapat dalam masyarakat Arab. Menurutnya, orang yang menyembah selain Allah telah menjadi musyrik dan boleh dibunuh. Hal-hal yang termasuk syirik adalah meminta pertolongan bukan lagi kepada Allah tetapi kepada syeikh, wali, atau kekuatan ghaib, tawassul (berdoa dengan perantaraan syeikh tarekat atau wali) dengan menyebut nama nabi atau malaikat sebagai memohon syafaat selain daripada Allah.

Dalam usaha memurnikan ajaran tauhid ini, para pengikut Muhammad bin Abdul Wahab merobohkan kubur-kubur biasa dikunjungi oleh mereka yang ingin meminta syafaat daripada orang yang telah dikuburkan. Pada tahun 1802, mereka menyerang Karbala kerana di kota ini terdapat kubur Saidina Hussein bin Ali bin Abi Talib, yang sangat dipuja oleh golongan Syiah. Beberapa tahun kemudian mereka menyerang Madinah dan menghancurkan kubah yang terdapat di atas makam-makam. Hiasan-hiasan yang ada di kuburan Nabi Muhammad juga dirosakkan. Mereka kemudiannya menyerang Mekah, dan di sini `kiswah’ (kain sutera) yang menutup Kaabah juga dirosakkan. Semua itu dianggap bidaah.

Dan di antara inti ajaran tauhid Muhammad bin Abdul Wahab yang lain iaitu meminta syafaat selain kepada Tuhan juga syirik, bernazar selain Tuhan juga syirik, memperoleh pengetahuan selain al-Quran dan hadis merupakan kekufuran, tidak percaya kepada kadar Tuhan juga merupakan kekufuran, demikian pula, mentafsirkan al-Quran dengan takwil adalah kafir.

No comments:

Post a Comment

Love.

Relationship is not about how much love you have in the beginning but how much love you build till the end.

Makkah azan.

my ip